Wednesday, October 6, 2010

“…dan jadikan kami imam kepada orang yang bertakwa”


“…dan jadikan kami imam kepada orang yang bertakwa” (Al-Furqan: 74) . Ungkapan yang ringkas tetapi mendalam. Maksud ayat ini amat jelas dalam menjelaskan metod kepemimpinan dalam politik Islam. Ia sekaligus menjelaskan sifat keunikan manhaj Islami dalam perjuangan politiknya.

Tugas menegakkan kepimpinan atau politik Islam bukan tertentu pada bagaimana kita mendapatkan kuasa sahaja tetapi juga bagaimana melahirkan masyarakat yang akan menjadi pendokong kepada sistem politik tersebut.

Dalam ayat di atas Allah s.w.t mengajar kita bagaimana sistem politik Islam adalah hasil kombinasi intim antara pembangunan masyarakat yang bertakwa dan menegakkan pemerintah. Pemerintahan Islam lahir dari masyarakat yang bertakwa.

Oleh itu usaha untuk menegakkan politik Islam tidak harus tertumpu sepenuhnya pada orientasi perebutan kuasa semata-mata tetapi sebaliknya merupakan susun atur yang menyeluruh merangkumi tahap-tahap amal yang diperlukan daripada individu muslim, keluarga Islam, masyarakat Islam kemudian barulah pemerintahan.

Diriwayatkan satu athar yang masyhur menyebut, “kama takunu yuwalla alaikum” maksudnya, “bagaimana kamu, begitulah pemimpin kamu”. Yakni kalau kamu umat atau jamaah yang hebat akan keluar daripada kamu pemimpin yang hebat dan jika kamu lemah, berdosa dan maksiat, akan datang pemimpin juga yang bersifat begitu.

Saidina Ali r.a pernah ditanya tentang perbezaan kepimpinannya berbanding kepimpinan Saidina Abu Bakar, beliau menjawab; “Itu kerana Abu Bakar memerintah orang seperti aku dan aku memerintah orang seperti kamu”. Jadi mengharapkan satu kepimpinan Islam dalam keadaan masyarakat yang fasik adalah satu impian yang sangat tinggi.

Jadi sebab itu pada pandangan saya berdasarkan methodologi ini mentarbiah masyarakat dan usaha melahirkan mereka menjadi umat yang kuat dan beriman adalah wasilah paling strategik ke arah menegakkan sistem pemerintahan Islam yang sebenar.

Membawa agenda politik Islam secara rambang dalam keadaan umat yang lemah dan tidak betul-betul beriman atau bertakwa akan mendedahkan projek Islam kepada tawar-menawar. Dan mungkin terdedah kepada modifikasi yang boleh menghilangkan warna asalnya atau hanyut dengan menjadi projek tampalan.

Untuk itu pendokong dakwah perlu jelas tentang marhalah-marhalah amal, cabaran setiap marhalah dan objektif yang sesuai untuk marhalah tersebut, supaya mereka tidak keliru antara matlamat dan fikrah yang asal yang hendak dituju dengan pendekatan semasa berdasarkan perhitungan semasa.

Mereka juga harus benar-benar faham tujuan dari penegakan sistem politik Islam iaitu untuk memastikan kuasa berada pada tangan orang Islam yang dengan itu mereka memiliki kekuatan penentu yang mengizinkan mereka menjaga kedaulatan negara, maruah bangsa dan melaksanakan tujuan-tujuan agama dan maksud-maksud hukum seperti yang dikehendaki oleh Allah s.w.t.

Keghairahan perebutan kuasa semata-mata dalam situasi percaturan politik seperti di Malaysia tanpa perhitungan yang cermat dan mendalam boleh mengakibatkan natijah terbalik. Justeru ia hendaklah dilakukan dengan hati-hati dan penuh perhitungan. Dengan itu kita pula terdedah kepada implikasi melanggar kaedah fikah yang masyhur “merubah mungkar tidak harus membawa kepada mungkar yang lebih besar”.

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman,
Presiden,
Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)
Perjalananku

Sampai Bila Tarbiyyah?



Bagi mereka yang sedang tekun dalam meniti liku-liku tarbiyyah, pasti kadang-kala terdetik di hati mereka akan persoalan ini. Persoalan ini lebih mencabar untuk diberi jawapan pada mereka yang hidup di lokaliti di mana dakwah baru mula bertapak. Lebih parah lagi, ramai yang mungkin kecewa dan putus asa dengan tarbiyyah bilamana dakwah telah lama berlangsung, tetapi terus kekal statik seperti masa ia bermula seketika dahulu. Masih tidak meningkat ke marahil yang lebih signifikan kesannya. Sebahagian pejuang tarbiyyah pula mungkin cemburu bila melihat negeri seberang telah mula mekar dan kembang kuntuman dakwah mereka. Sudah mula mencatur dan mengagihkan kerusi-kerusi parlimen yang hendak ditandingi. Sudah mula berjuang dan berhadapan dengan taghut pemerintah. Lantas mereka futur dan gugur di tengah jalan lantaran bosan dengan marhalah perjuangan mereka yang tidak berkembang. Juga sebahagian mereka terus radikal, segera terjun ke persada politik. “Ini juga tarbiyyah…”, kata mereka. Fenomena ini bisa kita ketemui di mana-mana bumi dakwah dan tarbiyyah itu cuba diperjuangkan. Maka, sampai bila perlu tarbiyyah?




Sangat penting bagi pendukung tarbiyyah memahami substance tarbiyyah itu sendiri. Apa yang kita nak capai sebenarnya? Berdepan dengan kekejaman pemerintah…itu bukan tarbiyyah juga ke? Tarbiyyah ni sekali-sekala tak boleh ke?…Kenapa kena kerap pula? Dan sampai bila perlu tarbiyyah?…

Tarbiyyah adalah uslub paling ideal dalam berinteraksi dengan fitrah manusia. Mendidik manusia secara langsung dengan kalimah-kalimah, dan secara tidak langsung dengan qudwah hasanah. Tarbiyyah perlu didasari manhaj dan wasilah yang khas, bagi mengubah manusia ke arah yang lebih baik.

Itu definisi tarbiyyah yang disusun oleh para ulama’ tarbiyyah. Kefahaman akan definisi ini dan apa yang dimaksudkan di sebaliknya, sudah cukup untuk memandu para du’at ke arah medan perjuangan. Tidak timbul lagi setelah itu persoalan masa. Ibaratnya, tarbiyyah itu dulu, kini, dan selamanya…

Dalam kita merangka gerak perjuangan, kita perlu melihat kepada peribadi-peribadi yang mahu bersama saff kita. Bagaimana fikrah mereka? Bagaimana ibadah dan hubungan mereka dengan Rabb dan makhlukNya? Bagaimana akhlak mereka? Bagaimana keyakinan mereka terhadap jalan ini? Semua ini mampu diselesaikan oleh tarbiyyah mustamirrah (konsisten) dan bukan sekadar sebentar sahaja. Seharusnya tiada istilah graduate dari madrasah tarbiyyah. Hasil dari tarbiyyah berpanjangan ini, lahirlah rijal yang mampu menanggung beban dan masalah ummah. Rijal tersebut masih bernilai manusia, dan masih perlu dirawat hati, akal, dan jasadnya. Maka berterusanlah tarbiyyah itu dalam mendidik jiwa-jiwa ini.

Kembali sejenak melihat sirah Ar-Rasul, bagaimana Baginda merawat hati para sahabat yang tidak sabar-sabar mahu berhadapan dengan puak Kuffar. Sewaktu Islam baru mula bertapak di Mekkah, para sahabat sebahagiannya diseksa dengan sangat dahsyat. Di antara mereka ialah Khabbab bin Aarat, yang cuba dipanggang jasadnya oleh kuffar Quraisy. Lantaran tidak tahan seksaan tersebut, Khabbab merayu pada Rasulullah supaya bertindak menekan kekejaman mereka. Beliau berkata, “Kami mengeluh di hadapan Rasulullah s.a..w saat beliau sedang bersandar di Ka’bah. Kami berkata kepadanya,”Apakah engkau tidak memohonkan pertolongan bagi kami? Tidakkah engkau berdoa kepada Allah untuk kami?”. Rasulullah s.a.w kemudian bersabda, “Dahulu seorang lelaki ditanam badannya ke dalam bumi lalu gergaji diletakkan di atas kepalanya dan kepalanya dibelah menjadi dua namun hal itu tidak menghalanginya dari agamanya. Dan disisir dengan sisir besi sehingga terkupaslah daging dan kulitnya sehingga tampaklah tulangnya namun hal itu tidak menghalanginya dari agamanya. Demi Allah, urusan ini akan disempurnakanNya sehingga seorang penunggang kuda akan berkelana dari San’aa ke Hadramawt tidak takut apapun selain Allah atau serigala yang akan menerkam gembalaannya, akan tetapi kalian tergesa-gesa!” (HR Bukhary 3343)

Begitulah sikap Ar-Rasul di permulaan dakwah. Detik mencari kekuatan, membina persediaan. Usaha Baginda fokus, dakwah dan tarbiyyah. Bahkan, usaha ini berterusan meskipun setelah berhijrah ke Madinah, mengangkat senjata, dan membina empayar. Imam Hassan Al-Banna juga tidak lupa mengingatkan kita akan perkara ini. Pesan beliau, janganlah kita ‘memetik buah sebelum ia ranum’. Semoga kita terus tsabat di atas jalan dakwah dan tarbiyyah ini, sehingga ke akhir medan.

p/s: Kita di marhalah mana sekarang?…sama-sama kita nilai.


Muhammad Syamil Muhammad Salmi 
ISMA Jordan 2010

Bangsa Melayu Mulia dengan Islam


Dalam kesempatan yang terhad ini, terdetik hati untuk menulis sedikit tentang tajuk di atas. Satu tajuk besar yang sewajarnya direnung dan diteliti semula oleh umat Melayu khususnya di tanahair tercinta ini. Dalam bulan Ogos dan September setiap tahun kita mengingati Hari Kemerdekaan Tanah Melayu pada tanggal 31 Ogos 1957 dan kita juga meraikan Hari Malaysia pada tanggal 16 September 1963.

Bagi generasi tua, pelbagai pengalaman perjuangan dan perubahan yang berlaku telah mereka rasai dan lalui sedangkan bagi generasi muda mungkin hanya sebahagian kecil sahaja yang mengambil peduli tentang sejarah bangsa dan negara ini.

Para sejarawan silam pernah mengungkapkan “Sesiapa yang tidak membaca sejarah mereka tidak akan mampu mencipta sejarah”. Berdasarkan ungkapan ini saya ingin mengajak para pembaca merenung kembali sejarah asal-usul tanahair tercinta ini.

Dulu sebelum bumi bertuah ini dikenali sebagai Tanah Melayu, ianya telah bermula dengan kewujudan Kesultanan Melayu Melaka yang cukup terkenal. Tidakkah kita sedar dahulu bahawa kita adalah antara pusat dagangan antarabangsa yang terkenal bahkan Kesultanan Melayu Melaka merupakan kerajaan yang berdaulat dan disegani khususnya di Asia hinggakan kerajaan China yang ketika itu antara kuasa besar dunia menghantar puteri untuk menjadi permaisuri Melaka.

Sejarah telah membuktikan keagungan Kesultanan Melayu Melaka adalah kerana mereka itu bukan sekadar bangsa Melayu tetapi juga seorang muslim. Mereka mengamalkan Islam dalam kehidupan peribadi, masyarakat dan negara. Bahkan terdapat catatan sejarah yang mengaitkan Kesultanan Melayu Melaka dengan Kerajaan Islam Turki Uthmaniyyah.

Apabila Islam mula berkembang di Kepulauan Melayu ini maka Kesultanan Melayu Melaka adalah antara tempat terpenting dalam pengembangan tersebut.

Begitulah kehebatan nenek moyang kita dulu apabila mereka dekat dengan Islam, mereka bukan sekadar pedagang, pemerintah tapi juga adalah duat ilallah. Sebenarnya tidak salah untuk kita mengingati kemuliaan bangsa ini selagimana ianya tidak bertentangan dengan syarak. Bahkan ianya adalah aset yang sangat berharga untuk kita.

Wahai bangsaku! Lihatlah realiti kita hari ini… perpecahan yang semakin gawat samada di segi politik mahupun yang lainnya.

Sesungguhnya ini adalah satu kerugian yang amat besar bagi umat ini. Lihat saja anak muda kita hari ini makin tenggelam dengan hiburan yang melampau, perzinaan, penagihan dadah, mat rempit dan seumpamanya. Ini adalah fenomena kehidupan generasi muda Melayu yang akan menjadi pewaris kepimpinan akan datang.

Kepada golongan pemerintah, ahli politik, ahli akademik dan sesiapa yang rasa bertanggungjawab, marilah sama-sama kita mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan ini berdasarkan petunjuk Ilahi, bukan kepentingan politik mahupun peribadi semata.

Adakah kita rela bangsa Melayu yang cukup mulia satu ketika dahulu akan berkubur dengan sebab kealpaan dan kelalaian kita?

Ingat! Sesungguhnya Melayu dan Islam tak boleh dipisahkan. Kesejahteraan negara Malaysia tercinta adalah pada kekuatan bangsa Melayu dan kemuliaan bangsa Melayu adalah dengan sebab mereka menjadikan Islam sebagai panduan dan pedoman hidup.

“MELAYU SEPAKAT ISLAM BERDAULAT”

oleh

Ustaz Shaharuzzaman Bistamam,
Ketua Biro Pembangunan Sumber Manusia,
ISMA Cawangan Ipoh
Bahtera Penyelamat

Monday, October 4, 2010

Memelihara Ukhuwwah Islamiyah dalam Amal

As-Syahid Imam Hassan Al-Banna telah menyifatkan, “Ukhuwwah ialah ikatan hati dan jiwa yang diasaskan oleh aqidah. Di mana aqidah merupakan ikatan yang paling kukuh dan bernilai. Ia juga merupakan natijah keimanan, manakala perpecahan adalah sebahagian dari kekufuran.”

Oleh yang demikian, setiap kita sebagai daie perlulah memahami bahawa perpaduan dan kesatuan merupakan suatu kekuatan. Kesatuan tidak akan lahir tanpa kasih sayang. Darjat kasih sayang yang paling rendah ialah seseorang itu merasa senang dan tenteram terhadap saudaranya. Manakala darjat yang paling tinggi ialah seseorang itu mampu mengutamakan saudaranya melebihi dirinya sendiri.

Sifat ini juga disebut “ithar”. Mengikut kata Abdullah Nasih Ulwan, ukhuwwah Islamiyyah (persaudaraan Islam) merupakan anugerah suci dari Allah SWT dan merupakan sebagai suluhan Rabbaniah dan nikmat Ilahiyyah.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dialah yang memperkuatkan kamu dengan pertolongan-Nya dan dengan para mukmin dan menyatukan hati-hati mereka. Sekiranya kamu belanjakan semua (kekayaan) yang ada di bumi, nescaya kamu tidak dapat menyatukan hati-hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatukannya. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.” (Surah Al-Anfal: 62-63).

Dalam ayat yang lain Allah SWT menjelaskan bahawa tiada persahabatan tanpa taqwa. Maksudnya:

“Teman-teman rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang-orang yang bertaqwa.” (Al-Zukhruf: 67)

Bagi mereka yang menghayati konsep ukhuwwah Islamiyyah di dalam kehidupan, mempunyai kelebihan-kelebihan tertentu. Di dalam hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda;

“Tiga macam orang yang mendapat kemanisan iman; iaitu orang yang mengasihi Allah dan Rasul-Nya melebihi rasa kasihnya kepada yang lain, yang mengasihi seseorang semata-mata kerana Allah dan yang membenci kepada kekufuran setelah ia diselamatkan dari kekufuran sama seperti dia benci untuk melompat ke dalam api.”

Oleh itu, bagi setiap pendakwah perlulah memastikan hubungan mereka di antara sahabat-sahabat sefikrah dan sewadah mestilah kerana Allah dan bukanlah kerana kepentingan yang lain dari-Nya. Apabila keadaan ini berlaku, maka akan lahirlah keberkatan dalam bersaudara seterusnya membuahkan kemanisan berukhuwwah. Justeru, ia melahirkan kemanisan bekerja di kalangan ahli jamaah lantaran kasih sayang, tanggungjawab, keprihatinan dan bantu membantu di kalangan mereka.

Sebenarnya, situasi ini merupakan elemen penting yang menjamin kelancaran dan kejayaan kerja-kerja dakwah. Disertakan dengan keimanan dan taqwa; Ukhuwwah Islamiyyah menuntut kepada keimanan dan ketaqwaan di antara mereka yang bersaudara. Lazimnya, jalinan ukhuwwah sebenar adalah sukar untuk dibina di kalangan individu-individu yang lemah keimanannya dan nipis ketaqwaan.

Bagi mereka yang berukhuwwah pada jalan Allah hendaklah saling nasihat menasihati saudaranya kerana Allah. Saling tegur menegur dan bersikap tegas dan ikhlas dalam memperbaiki kelemahan atau kecacatan saudaranya kerana Allah. Ukhuwwah Islamiyyah yang sebenar hanya akan lahir dan subur melalui keyakinan dan amalan. Hal ini bersesuaian dengan sifat Islam yang bersifat teori dan juga mengutamakan praktikal.

Di antara tatacara yang boleh membantu dalam memperkukuhkan ukhuwwah di kalangan kita ialah:

1) Apabila saudara mengasihi seseorang kerana Allah, maka ia hendaklah memberitahunya bahawa ia mencintainya.

2) Hendaklah melazimkan berjabat tangan apabila bertemu dengan seseorang.

3) Hidupkan program ziarah-menziarahi dari semasa ke semasa.

4) Hendaklah megucapkan tahniah kepada saudaranya pada tempat yang munasabah.

5 ) Lazimkan memberi hadiah dalam keadaannya yang sesuai.

6) Berikanlah keutamaan dalam menunaikan hajatnya.

7) Hendaklah memberikan hak-hak ukhuwwah kepadanya. Sama ada hak-hak umum atau hak-hak ukhuwwah yang khusus.

Kesimpulannya, ukhuwwah Islamiyyah yang mantap di kalangan pendokong-pendokong perjuangan Islam merupakan kekuatan dalaman jamaah yang sukar digugat. Melaluinya akan lahirlah pejuang-pejuang yang thabat, istiqomah dan bersedia berkorban untuk kepentingan Islam. Mereka juga ibarat mata rantai yang kukuh bagi jentera yang kecil tetapi mampu menggerakkan beban yang besar.

sumber asal:
ISMA SHAH ALAM - KLANG

Bukan Sekadar Wanita


Umar al-Khattab pernah berkata: “Aku impikan rumah ini dipenuhi dengan ‘rijal-rijal’ seperti Muaz b. Jabal, Abu Ubaidah Al-Jarrah, Salim hamba Huzaifah untuk aku gunakan mereka untuk menegakkan kalimah Allah”.

Kata-kata hebat yang lahir dari insan yang hebat. Mengimpikan ‘rijal’ lebih dari perhiasan duniawi. Fikrahnya sangat jelas, menyeru kepada pembentukan ‘rijal’ dakwah yang mantap untuk menegakkan panji-panji Islam. Dengan itu, akan tertegaklah kalimah Allah di muka bumi ini.

Bagaimana untuk menghasilkan ‘rijal’ dakwah yang mantap ini? Tentulah memerlukan satu proses tarbiyah yang benar-benar mantap. Merangkumi segala aspek. Ruhi, jasmani, akal, aqidah, akhlaq, dan amalnya. Ia adalah proses untuk membentuk manusia, bukanlah semudah menguli tepung. Ia merupakan satu proses yang memerlukan kesungguhan dan pengorbanan. Ia juga memerlukan kesabaran yang sangat tinggi. Bukan calang-calang orang boleh melakukan ini. Tetapi cuba bayangkan seandainya impian ini jadi kenyataan suatu hari nanti. Nescaya dunia ini akan makmur di bawah naungan Islam. Tentu kita akan rasa sangat gembira. Kerana di situ ada hasil titik peluh kita.

Tangan Yang Lembut Itu

Siapa sangka tangan lembut seorang wanita mampu menggoncang dunia? Siapa sangka wanita yang disangka lemah mampu merubah masyarakat? Siapa kata wanita tidak boleh berdakwah?

Di sinilah hebatnya wanita. Memiliki keistimewaan tersendiri. Dari manakah lahirnya seorang ‘rijal’ kalau bukan dari rahim seorang wanita. Mungkin kadangkala terselit rasa lemah dan rendah diri kerana wanita tidak berpeluang berjuang di medan jihad seperti orang lelaki. Tetapi betapa bertuahnya seorang wanita. Seorang wanita yang luarannya lemah lembut mampu untuk mengandung, melahirkan, membesarkan, mengasuh dan mendidik seorang ‘rijal’. Bukankah itu satu kemuliaan yang Allah kurniakan hanya buat wanita.

Bukan sekadar itu. Wanita juga dimuliakan dengan suaminya. Tetapi bagaimana? Dalam sebuah riwayat dituturkan, bahawasanya Ibnu ‘Abbas berkata:

“Sesungguhnya seorang perempuan telah datang kepada Rasulullah, lalu ia berkata:‘Wahai Rasulullah, saya ini utusan dari kaum perempuan untuk menemuimu. Jihad ini diwajibkan Allah kepada kaum laki-laki. Jika mereka menang, mereka mendapat pahala, dan jika mereka terbunuh, mereka tetap hidup di sisi Tuhan mereka, dan mendapat ganjaran. Sedangkan kami kaum perempuan hanya membantu mereka. Maka, apa bahagian kami dalam hal in?’ Rasulullah Saw menjawab, ‘Sampaikanlah kepada perempuan-perempuan yang kamu temui, bahwa taat kepada suami dan mengakui hak-haknya adalah sama dengan itu (jihad di jalan Allah)’.” (Fiqh Sunnah, Sayyid Sabiq)

Wanita Juga ‘Rijal’

Jika anda wanita, anda juga boleh menjadi rijal. Sejarah telah membuktikan bagaimana peranan Khadijah di sisi Rasulullah. Beliaulah suara pertama dari kaum wanita dalam menguatkan dakwah dan risalah Muhammad saw. Ketika baginda Rasulullah baru menerima wahyu, beliau menguatkan Rasulullah dengan kata-katanya:

“Demi Allah, Tuhan tidak akan mengecewakan engkau sama sekali. Sesungguhnya engkau menghubungkan silaturrahim, menghubungkan keluarga dan mengangkat beban berat, memberi kepada orang yang memerlukan, menerima dan menghormati tetamu, serta menolong orang-orang yang susah.”

Wanita pertama sebagai syuhada adalah Ummu Amr bin Yasir yang bernama Sumayyah. Beliau dan suaminya disiksa, agar mereka keluar dari agama Islam. Tetapi mereka tetap bertahan dan sabar, sehingga dia mati syahid bersama suaminya. Besarnya peranan seorang wanita ketika hijrah Rasulullah, Asma’ bintu Abu Bakr. Dalam keadaan beliau sedang sarat mengandung, merentas padang pasir menghantar makanan buat baginda ar-Rasul. Menahan perit tamparan Abu Jahal, demi mempertahankan agama Allah. Beliau juga merupakan ibu kepada seorang ‘rijal’ yang berjaya melakar nama dalam sejarah Islam, ‘Abdullah Ibnu Zubair.

Jadilah Wanita ‘Rijal’

Seandainya seorang wanita itu mengangkat dirinya dengan Islam, beramal untuk Islam, dia boleh menjadi aset yang sangat penting dalam usaha mengembalikan khilafah di bumi Allah ini. Namun jika wanita itu merendahkan dirinya dengan melakukan kerosakan di bumi ini, dia boleh menjadi punca jatuhnya ummat tersebut.

‘Rijal’ atau tidak seorang wanita itu bergantung pada dirinya sendiri. Samada dia mahu menjadi seorang wanita ‘rijal’ atau sebaliknya. Namun, ia bukanlah satu perkara yang mudah. Memerlukan persiapan yang rapi serta tarbiyah yang teliti.

Oleh itu, marilah kita sama-sama mempersiapkan diri kita untuk menjadi seorang isteri, ibu, serta wanita yang berhati ‘rijal’ sodiq (benar). Jadilah bukan sekadar wanita.

oleh
ASMA' AHMAD KHALID
Tahun 6 Fakulti Perubatan
Jordan University of Science & Technology

Profil ISMA




PENGENALAN

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merupakan satu badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memainkan peranan di tengah masyarakat dengan hasrat membentuk dan membina masyarakat yang unggul dan gemilang. Untuk tujuan itu, ISMA mengajak masyarakat agar mengamal, dalam kehidupan seharian, ISLAM SEBAGAI CARA HIDUP YANG UNGGUL DAN SEMPURNA!

ISMA merupakan sebuah entiti yang berdaftar dan tidak bermotifkan keuntungan. Dengan misinya untuk membina kekuatan keperibadian yang berpaksikan Islam serta penguasaan budaya ilmu, kehidupan sihat, perancangan dan teknologi, ISMA berazam untuk memberi impak kepada masyarakat melalui pelbagai program dan aktiviti. ISMA komited dalam mencapai matlamat penubuhannya di samping mempunyai ahli-ahli yang konsisten melaksanakan program dan aktivitinya.

ISMA berusaha mengajak masyarakat kepada kesejahteraan dan keutuhan keluarga sebagai aset kekuatan dalam pembentukan masyarakat kerana ISMA mahu mencorakkan bangsa ke arah kemajuan, berdaya saing dan mampu menjadi sebuah entiti yang mewarnai kepimpinan masa depan.

ISMA berhasrat untuk memikul amanah sebagai organisasi yang memberikan kebaikan kepada seluruh masyarakat sama ada dari segi aspek kebajikan sosial, pembangunan insan, kekeluargaan, pembangunan remaja, belia serta wanita.

ISMA bukan parti politik dan tidak akan terlibat di dalam sebarang kegiatan politik kepartian.


TUJUAN DAN MATLAMAT

Menggabungkan dan menyatukan semua warga negara Malaysia yang berumur lapan belas (18) tahun ke atas dan beragama Islam dalam sebuah pertubuhan yang melaksanakan segala bentuk aktiviti dan program dalam bidang kebajikan, sosial, ekonomi dan pendidikan ke arah pembentukan peribadi Muslim yang berwibawa dan bertanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.

Menggembelingkan kepakaran dan pengalaman ahli‑ahli dan sukarelawan yang berminat ke arah berkhidmat untuk masyarakat di peringkat nasional dan antarabangsa.

Mewujudkan sebuah pusat sumber sebagai tempat rujukan ahli dan masyarakat dalam proses penyelidikan dan pengembangan ilmu pengetahuan.

Menjadi anggota kepada pertubuhan‑pertubuhan Islam di dalam dan luar negara yang mempunyai tujuan‑tujuan dan matlamat-matlamat yang sama dengan ISMA serta menerima keanggotaan pertubuhan‑pertubuhan tersebut.

Menjalinkan kerjasama dan menjalankan aktiviti dengan pertubuhan‑pertubuhan di dalam dan luar negara dalam menjayakan matlamat dan tujuan ISMA demi kebaikan dan kepentingan masyarakat.

Mewujudkan pusat‑pusat pendidikan dan latihan ke arah meningkatkan taraf sosio‑ekonomi ahli dan masyarakat.

Menyedia, menerbit dan menyalurkan maklumat‑maklumat yang melibatkan kepentingan ahli dan masyarakat melalui saluran‑saluran media yang dibenarkan oleh pihak berkuasa secara kerjasama dengan pihak media massa di dalam dan luar negara.

Menerima dan menguruskan sumbangan‑sumbangan sama ada dalam bentuk wang atau selainnya daripada ahli‑ahli ISMA sendiri (selain daripada yuran keahlian) atau daripada mana‑mana pihak individu atau institusi/syarikat/firma dari dalam dan luar negara dan sebagainya yang berminat untuk membantu ke arah pencapaian tujuan‑tujuan dan maksud ISMA.


VISI

Membangun kekuatan tamadun Islam di Malaysia berasaskan keadilan bersama.


MISI

Membina kekuatan keperibadian yang berpaksikan Islam serta penguasaan budaya ilmu, kehidupan sihat, perancangan dan teknologi


OBJEKTIF

Memantapkan kefahaman ahli serta masyarakat bagi melahirkan pimpinan di masa depan.Mengangkat kesedaran peri-pentingnya pembinaan keluarga.
Membentuk remaja ke arah membangunkan potensi intelektual, fizikal dan spiritual.

Membimbing pemuda menjadi individu muslim berketrampilan dan bertanggungjawab terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara.

Menyedia, menerbit dan menyalurkan maklumat-maklumat yang melibatkan kepentingan ahli dan masyarakat melalui saluran media yang dibenarkan.

Mewujudkan pusat-pusat pendidikan dan latihan ke arah meningkatkan taraf sosio-ekonomi ahli dan masyarakat.

Membantu masyarakat dari segi kebajikan dan aspek kemanusiaan.

Iftar Perdana I-Medik Kali Ke-2

3 September: I-Medik telah mengadakan Iftar Perdana I-Medik pada 24 Ramadhan yang lalu bertempat di Dewan Puri Pujangga, UKM Bangi. Majlis ini telah dihadiri oleh 250 orang daripada kalangan professional-professional dan pelajar-pelajar dalam bidang perubatan sama ada dalam dan luar negara. Antaranya pelajar-pelajar perubatan dari Jordan, Mesir, India, Australia, UKM, UM, UIAM dan lain-lain.

Majlis dimulakan dengan iftar dan diikuti dengan solat maghrib secara berjemaah. Selepas itu, pengerusi mengalu-alukan kehadiran ahli jawatankuasa pusat ISMA. Majlis diteruskan dengan ucapan Pengerusi I-Medik, Prof. Dr Azmi Md Nor yang merupakan Profesor dan Pakar Perunding Pembedahan di Kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuantan. Seterusnya timbalan presiden ISMA, En. Abdul Rahman Md Dali menyampaikan ucapan sekali gus melancarkan laman web I-Medik. Buku PsikoSeksual Remaja Wanita dan Psikoseksual Remaja Lelaki juga turut dilancarkan. Penulisnya adalah Dr Yusof Abbas dan Dr Norizam Md Alias.

Dialog ini yang banyak memberi info kepada para tetamu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Ramai tetamu yang mengajukan soalan lebih-lebih lagi pelajar-pelajar bidang perubatan. Namun disebabkan masa yang terhad, maka majlis diakhiri dengan sesi bergambar bersama semua tetamu. Majlis seperti ini yang mampu menjalinkan ukhuwah dan memberi impak positif kepada bidang perubatan diharapkan dapat dijalankan pada masa yang akan datang.

sumber: ISMAweb